Tuesday 16 August 2011

Hukum Promosi Produk Insurans

Dipetik dari Portal Rasmi Majlis Fatwa Malaysia
Rabu 17 Ramadhan 1432H / 17 Ogos 2011M
Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah
Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.
Keputusan (English): 

The Ruling on Promoting Conventional Products From Shariah Perspective

Decision:

The 89th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 14th -16th December 2009 has discussed the ruling on promoting conventional products from Shariah perspective. The Conference observed that Syariah based Takaful system is growing rapidly. This product needs support from Muslims to further develop the system of Islamic muamalat. Therefore, Muslims are prohibited from promoting conventional insurance products that are based on usury. However, income and commission gained during the transition period from the is conventional system to takaful acceptable.
 
Keterangan/Hujah: 


  1. Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.

  1. Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.

  1. Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :
" ما حرم أخذه حرم إعطأوه "
Maksud: Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.

  1. Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
     
  2. Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.

  1. Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
     
  2. Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.

  1. Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.

  1. Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.
Keputusan Muzakarah Kebangsaan lain berkaitan: 

Perbezaan Insuran dengan Takaful


Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Ramai yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?. Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang.?
Jawapan mudah saya adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu'awadah Maliah' yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru'at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.
Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.
Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-
  • a) Tabarru' dan Mudarabah
  • b) Wakalah dan Tabarru
Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi sedikit gambaran awal kepada para pembaca. ( Malangnya saya gagal memasukkan gambar rajah ini )

1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru'
Keterangan ringkas : Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasr Ju'alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah
Keterangan ringkas : Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.
Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru') atau (wakalah).
Berikut pula perbezaan antara keduanya dalam bentuk jadual ;-

Konvensional
Takaful
Kontrak Mu'awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans dengan pohak yang diinsurankan
Kontrak Tabbaru' ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuran
Peserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim.
Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang pemegang saham)
* Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar Takaful daripada kumpulan wang takaful.

* Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk menampung kekurangan berkenaan.
Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan Shariah
Aset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah.
Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh pelanggan.
Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali
Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran.
Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri. Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum.
Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari 'surplus'
Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum.


Demikian penerangan ringkas Ust Zaharuddin Abd Rahman
17 Safar 1428 H = 7 Mac 2007