Saturday 8 June 2013

MUSIBAH BERLAKU KEPADA SESIAPA SAHAJA

Produk Takaful tepati kehendak syariah 

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Malah yang lebih malang, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan. Oleh kerana itu timbulnya satu keperluan memiliki perlindungan takaful sebagai satu langkah bijak menguruskan kehidupan agar tercapai bahagia di dunia dan di akhirat. Sistem takaful ialah satu sistem yang berteraskan kepada prinsip-prinsip syariah yang menjamin prinsip 'ketelusan dan keadilan'. Ia bagi memastikan semua pihak yang berurusan tidak merasa tertindas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 90 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran. 

Prinsip utama dalam takaful adalah semua pihak yang menyertai kontrak ini dapat merasa manfaat dan tidak terasa sebarang keraguan atau rasa tertipu, seperti membayar sesuatu dengan harga yang mahal tetapi tidak mendapat barang yang dikehendaki, atau pun barang itu hanya dijanjikan jika berlaku sesuatu musibah ke atas diri atau hartanya. Sehubungan itu, kontrak takaful adalah berasaskan kepada tabarru' (derma) dan taawun (tolong menolong), di mana semua peserta yang memilih atau menyertai pelan takaful bersetuju untuk saling tolong menolong, jamin menjamin antara mereka ketika ditimpa musibah atau kemalangan. Maksudnya, semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu antara mereka jika ditimpa musibah. Dengan konsep tabarru' dan taawun ini, maka akan terhapuslah sikap keakuan, iaitu saya beli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain. Kedua-dua konsep ini menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.