Sunday 19 June 2011

Takaful Ikhlas yakin raih kutipan premium RM900j
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/04/26
Syarikat terus catatkan pertumbuhan baik dari tahun ke tahun

TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd yakin meraih kutipan premium RM900 juta dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2012, sekali gus mengekalkan kedudukannya antara tiga syarikat takaful terbaik di negara ini.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata ia adalah pertumbuhan 25 peratus daripada RM760 juta dicatatkan tahun kewangan sebelumnya, sejajar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Katanya, 70 peratus daripada kutipan premium itu disasarkan disumbangkan daripada produk takaful keluarga, manakala 30 peratus lagi adalah produk takaful am.

“Kami melihat banyak peluang yang ada dalam industri takaful ini, dengan syarikat terus mencatatkan pertumbuhan baik dari tahun ke tahun. Malah, kami juga yakin mencapai kutipan premium RM1 bilion menerusi perkembangan positif ini,” katanya menerusi temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Takaful Ikhlas adalah antara syarikat di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang turut serta dalam pameran bersempena Minggu Saham Amanah (MSAM) 2011 yang sedang berlangsung di Ipoh.

Syed Moheeb berkata, ketika ini, Takaful Ikhlas berada pada kedudukan ketiga dalam industri takaful dengan menguasai kira-kira 17 peratus pasaran perniagaan takaful di negara ini.
“Kami berharap untuk meningkatkan penguasaan pasaran syarikat atau setidak-tidaknya terus mengekalkannya tahun ini.

“Bagaimanapun, cabaran sebenar mungkin dapat dilihat mulai tahun depan apabila syarikat takaful baru mula memperlihatkan pertumbuhan perniagaan mereka selepas lebih setahun beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Takaful Ikhlas akan mengkaji semula 12 produk sedia adanya dan dilancarkan semula bagi memenuhi keperluan dan kehendak pasaran.

“Dalam hal ini, kami tidak pasti berapa produk yang akan diluluskan Bank Negara Malaysia. Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini kami sedang menunggu kelulusan bagi dua produk utama iaitu berkaitan perubatan dan kemalangan peribadi,” katanya sambil me-nambah syarikat itu ketika ini menawarkan lebih 90 pelan perlindungan kewangan berlandaskan syariah.

Mengenai rancangan untuk memperluaskan operasi takaful menerusi rakan strategik berpotensi di luar negara, beliau berkata, Takaful Ikhlas mahu menumpukan kepada pasaran tempatan kerana masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Masih banyak peluang di sini dan kami tidak mempunyai sumber untuk memberi fokus dalam usaha mengembangkan sayap di luar negara. Kami kini lebih bersedia menjadi sebagai perunding menawarkan kepakaran teknikal, tanpa sebarang pegangan ekuiti kepada pihak yang memerlukan perkhidmatan kami di luar negara,” katanya.

Syed Moheeb berkata, menerusi langkah itu ia bakal mewujudkan aliran pendapatan baru iaitu pendapatan berasaskan yuran kepada syarikat.

Baru-baru ini, katanya, ada empat syarikat, insurans dan bank dari Indonesia, Afrika dan Asia Barat menyatakan minat sama untuk menjadi rakan strategik dan khidmat rundingan, tetapi belum ada lagi keputusan konkrit daripada mereka.

No comments:

Post a Comment